PROSA KLASIK

Pertandingan Bercerita Bahasa melayu



Bulan Bahasa Sajak




Pertandingan Pidato Kanak-kanak Malaysia 2009 (Johan Kategori Bahasa Melayu)




Pesta Pantun Peringkat Negeri Perlis 2009




BIMBINGAN BERKARYA PANTUN


Za'ba dalam bukunya Ilmu Mengarang Melayu menjelaskan, "Perkataan pantun itu pada mulanya dipakai orang dengan makna seperti atau umpama." Ada pendapat mengatakan perkataan pantun adalah daripada bahasa Minangkabau iaitu panuntun yang bermaksud pembimbing/penasihat yang berasaskan sastera lisan dalam pengucapan pepatah dan petitih yang popular dalam masyarakat tersebut.

Sehingga hari ini, pantun sering digunakan dalam upacara peminangan dan perkahwinan atau sebagai pembuka atau penutup bicara dalam majlis-majlis rasmi.  Umumnya terdapat dua jenis utama pantun iaitu pantun berkait dan pantun tidak berkait.

Bilangan baris dalam setiap rangkap pantun dikenali sebagai kerat.  Lima bentuk utama pantun ialah pantun dua kerat, pantun empat kerat, pantun enam kerat, pantun lapan kerat dan pantun dua belas kerat.  Pantun yang popular digunakan ialah pantun dua kerat dan empat kerat.

Setiap pantun mesti mempunyai pembayang dan maksud pantun.  Pembayang dalam setiap rangkap adalah separuh pertama daripada keseluruhan jumlah baris dalam rangkap berkenaan. Separuh kedua dalam setiap rangkap pantun pula ialah maksud atau isi pantun.

Antara ciri-ciri lain yang ada dalam sebuah pantun ialah pembayangnya mempunyai hubungan yang rapat dengan alam dan persekitaran yang rapat dengan pengucapnya seperti yang terdapat dalam contoh pantun dua kerat berikut:

Sebab pulut santan terasa,
        Sebab mulut badan binasa.

Rima pantun yang baik berakhir dengan ab,ab bagi pantun empat kerat dan a,a bagi pantun dua kerat. Selain daripada pembayang, maksud dan rima, pantun juga terikat dengan hukum suku katanya. Bagi pantun Melayu, suku kata untuk setiap baris ialah antara lapan hingga dua belas suku kata sahaja.

Melalui bentuknya yang kemas dan padat, pantun berjaya menjadi alat yang penting untuk menghibur, memberi nasihat, menduga akal, meluahkan perasaan dan menyedapkan cakap. Pantun turut berfungsi sebagai media untuk menyampaikan hasrat yang seni atau rahsia yang tersembunyi melalui penyampaian yang berkias.

KANDUNGAN PANTUN MELAYU

Pembayang atau Sampiran
Pembayang terletak pada bahagian setengah pertama setiap rangkap pantun. Pembayang memainkan peranan untuk memberi persamaan bunyi/rima kepada maksud. Pembayang pada baris pertama hendaklah ada hubung kait dengan pembayang pada baris berikutnya dalam setiap rangkap pantun.

Maksud atau Isi
Maksud atau isi terdapat dalam setengah bahagian kedua dalam setiap rangkap pantun. Pada bahagian inilah tersurat dan tersiratnya apa yang hendak disampaikan dalam pantun tersebut(tema).

Perkataan
Pantun biasanya mengandungi empat atau tiga patah perkataan pada tiap-tiap baris. Pantun yang baik memaparkan bilangan perkataan pada tiap-tiap baris yang sama bilangannya.

Suku kata
Tiap-tiap patah perkataan terdiri daripada tiga atau empat suku kata. Dalam tiap-tiap baris pula hendaklah mengandungi antara lapan hingga dua belas suku kata. Pantun yang baik mengandungi jumlah suku kata yang sama banyak.

Rima atau bunyi
Rima ialah bunyi yang sama pada bahagian tengah atau akhir pada tiap-tiap baris pantun.  Rima yang baik mempunyai bunyi yang sama dalam setiap rangkap pantun.  Rima pada baris pertama pembayang mestilah sama dengan rima baris pertama maksud dan begitulah seterusnya Rima pantun yang terbaik ialah a,b,a,b dan ada juga berima a,a,a,a. 
Pantun di bawah mengandungi 4 patah perkataan dan 9 suku kata setiap baris.Contoh pantun yang baik :

Ba/ik/ ber/galas/ ba/ik/ ti/dak/,
 Bu/li/-bu/li/ ber/ta/li/ be/nang/,
 Ba/ik/ ber/ba/tas/ ba/ik/ ti/dak/,
 A/sal/ bu/di/ sa/ma/ di/ke/nang/

CIRI-CIRI PANTUN YANG BAIK

Pantun yang baik ialah pantun empat kerat yang mempunyai ciri-ciri berikut:

  • mengandungi 4 kerat/baris.
  • jumlah perkataan dalam sebaris antara 4-5 patah perkataan.
  • jumlah suku kata sebaris antara 8-12 suku kata.
  • ada hubungan antara pembayang (2 baris di atas) dan maksud (2 baris di bawah).
  • bunyi rima akhir seuntai pantun itu mestilah sama- a,b,a,b .
  • bahasa yang halus, penuh kiasan dan sindiran serta banyak menggunakan unsur alam.
  • maksud isinya sarat dengan pengajaran, moral dan falsafah hidup.
  • sarat dengan ciri-ciri tradisional-penggunaan rangkap, ada pembayang dan maksud, mempunyai nilai hidup masyarakat yang menggambarkan perspektif masyarakat yang melahir dan menggunakannya.

No comments:

Post a Comment